Assalamu`alaikum WBT. Selamat datang kepada semua yang sengaja atau tidak sengaja melawati blog ini. Kampung Paka Jaya yang dahulunya dikenali sebagai Kampung Paka Dua terletak 0.5KM dari pekan Ranau, Sabah. Disempadankan dengan kampung-kampung seperti Kampung Lingkudau, Kampung Matan dan Kampung Pasir Putih. Agak-agak 3 minit ajer kalau naik kereta. Kampung ini dihubungkan juga dengan kemudahan bas tambang atau lebih dikenali sebagai pawong dengan kadar bayaran RM1 dari pekan dan sebaliknya. Kalau jalan kaki pun boleh, jalannya baik, selamat dan selesa gitu.
Sejarah penubuhan kampung ini dipercayai dari sumber-sumber lisan dan tulisan ialah pada awal tahun 30-an. Satu masa dahulu kampung ini dikenali sebagai Kampug Kipaliu yang diambil sempena nama sebuah sungai kecil yang mengalir ditengah-tengah kampung ini. Apa yang peliknya, sungai ini tidak diketahui hulunya (ntah sumber airnya dari mana). Kemudian nama ini ditukar kepada Kampung Paka yang mana Paka atau lalang merujuk kepada nama sejenis tumbuhan yang tumbuh subur merata-rata disetiap pelusuk kampung. Memandangkan pada masa itu terdapat juga Kampung Paka di Batu 4 Kibbas, maka nama kampung ditambah menjadi Kampung Paka Dua. Sekitar tahun 2007, nama kampung ini ditukar sekali lagi kepada Kampung Paka Jaya memandangkan terdapat banyak kekeliruan terutamanya surat menyurat. Ramai yang menggunakan alamat Kampung Paka II, Paka 2 atau Paka2. Walaupun maksudnya sama, tapi terdapat pihak yang terkeliru dgn menyangka Paka II sebagai Paka Sebelas atau Paka-paka. Apa yang lebih penting, perkataan Jaya lebih menjurus kepada sebuah kampung yang telah dan bakal berjaya dalam semua cabang kehidupan, Amin.
Kampung ini kira sederhana ajer, takde gempak sangat. Kemudahan infrastruktur seperti jalanraya, bekalan air, elektrik, perhentian bas, mini dewan, surau, Taska, perpustakaan desa dan sebagainya semua ada. Kedudukannya berhampiran dengan Pekan Ranau, Masjid ar-Rahman, Hospital Daerah, Padang Daerah (Bandaran), pejabat-pejabat kerajaan dan swasta, SK Pekan dan SMK Mat Salleh. Penduduknya adalah sekitar 800-900 orang yang terdiri dari pelbagai kaum seperti Dusun (95%) dan lain-lain (Cina, India, Bugis dll). Majoriti penduduk adalah beragama Islam. Terdapat juga yang beragama Kristian, Buddha dan Hindu.
Kebanyakan dari penduduknya bekerja dalam sektor kerajaan dan swasta. Disamping itu ramai juga yang melakukan aktiviti ekonomi seperti bertani (sawah padi dan kebun sayur), berniaga (runcit, gerai, kilang mini dan sebagainya), penternakan (ayam, ikan air tawar, kambing dan lembu). Tidak kurang juga penduduk kampung yang ditugaskan atau mencari rezeki sekitar dan di luar negeri Sabah. Agak-agaknya, kalau tinggal kat sini tak gak ler mati kebuluran. Masih banyak tanah-tanah lapang yang boleh diusahakan dan sudah pastinya menjadi sumber ekonomi utama kampung ini.
Dari segi pendidikan, kampung ini juga tiada kurangnya. Di sini terdapat Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dan tidak jauh dari sini pula terletaknya SK Pekan 1, SK Pekan 2, SJK Pai wen, SK St. Benedict, SK Kituntul, SMK Mat Salleh dan SMK Agama al-Irsyadiah Marakau Ranau. Sejak dulu lagi kampung ini melahirkan ramai graduan Universiti, lulusan IPTA dan IPTS malah sudah lahir generasi kampung ini yang bergelar doktor, peguam, jurutera dan pegawai-pegawai utama kerajaan. Harap-harap lepas ini akan lahir pula angkasawan, ahli sains dan sebagainya, InsyaAllah.
Di kampung ini jugalah terletaknya tanah perkuburan orang-orang Islam yang berkeluasan sekitar 1km persegi. Ia dikongsi bersama oleh beberapa buah kampung seperti Kampung Paka Jaya, Kampung Lingkudau, Kampung Silou dan Kampung Matan. Pembersihan dilakukan setiap 2 bulan dan hari-hari kebesaran Islam.
Apa yang lebih menarik perihal kampung ini adalah kegiatan dan kejayaan belia kampung ini. Sejak dulu lagi belia kampung ini dilebalkan sebagai hyperactive diperingkat daerah dan negeri Sabah. Sebagai contohnya, Badan Belia Islam (BBI) yang membawa satu revolusi kampung ini sekitar 80-an. Semakin ramai belia, remaja dan kanak-kanak aktif dalam aktiviti keagamaan seperti kelas-kelas agama, nasyid, ziarah dari rumah ke rumah, gelanggan silat dan sebagainya. Selepas itu muncul pula kelab remaja dan belia yang dikenali sebagai Kelab Seni dan Kebudayaan Success Kampung Paka Jaya pada tahun 1996. Pada masa yang sama Yayasan Sabah cawangan Ranau menubuhkan Unit Belia Masjid (UBM) Kampung ini. Secara peribadi, saya berpendapat masa inilah segalanya bermula. Keahlian Success dan UBM sahaja mencakupi hampir seluruh remaja dan belia kampung ini. Banyak aktiviti ditambah dan dikemaskini. Antara lain kejayaan yang cemerlang adalah penerbitan jilid pertama Makalah Cetusan Kampung (pertama seumpamanya di Sabah - Sumber Yayasan Sabah) pada tahun 1997, Johan Nasyid Karaoke Peringkat Pantai Barat dan banyak lagi. Sejak dari itu, kampung ini tidak pernah ketandusan wakil terutama dalam pertandingan nasyid dan kompang peringkat daerah, bahagian dan negeri. Dengan berkat usaha yang tak kunjung lelah, akhirnya pada tahun 2004 belia kampung berjaya melahirkan sebuah album kompilasi nasyid daerah yang bertajuk Sayang. Pelancaran album ini disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah pada masa itu iaitu YB Datuk Masidi Manjun di Dewan Kundasang. Dalam album ini turut dimuatkan lagu nasyid dalam bahasa Dusun yang bertajuk Pason Dagai (Pesan Kami).
Belia kampung ini jugalah yang sering bertanggungjawab dalam menjayakan pelbagai majlis rasmi, anjuran pelbagai jenis sukan, gotong royong, majlis-majlis agama, perkahwinan, kursus-kursus dan sebagainya.